Khas Untuk Tugasan Bersemuka
Perkara ini seringkali terjadi pada saya, ketika mengajar rumah ke rumah dulu.
Bayangkan ; kita dah bajet masa 30 minit masa memandu sebelum kelas. Kita dah bajet masa makan dan persiapan dan solat sebelum itu.
Alih-alih, sampai je di pintu pagar rumah pelajar, baru dapat notifikasi Whatsapp / SMS ; KELAS DIBATALKAN kerana ada aktiviti / kokurikulum / keluar berjalan atau makan / tak sihat atau penat sangat.
Ataupun lebih teruk – tiada langsung notifikasi ; kita tekan loceng rumah – tiada ada orang jawab, ataupun orang gaji saja yang jawabkan – pelajar tiada di rumah.
Apa anda rasa? Geram kan? Seolah-olah tidak hormati masa kita.
Bagi aku , yang paling dikesalkan bukan hanya perkara di atas (itu pun dah besar) – tapi kos peluang (opportunity cost) yang terlepas.
Apa Itu Kos Peluang ?
Jika mereka beritahu awal sejam pun, sekurang- kurangnya kita tidak terbuang masa, tenaga dan duit minyak.
Ini memang lebih baik daripada tidak beritahu langsung.
Tapi yang lebih baik adalah jika kita diberitahu sehari (24 jam) ataupun lebih awal .
Kenapa ?
Supaya kita boleh rancang untuk mengadakan kelas lain, dan menjana pendapatan.
Kerana bagi tutor seperti kita, masa itu duit.
Inilah maksud saya dengan kos peluang ini.
Jadi, kita ada 2 kerugian ;
i) duit minyak, masa, penat lelah dan persediaan, dan
ii) kos peluang ini.
Apa Tindakan Kita ?
Pembatalan kelas ini semua bukan di bawah kawalan kita. Kita hanya boleh mengurangkan (meminimakan) kerugian kita.
Situasi ① : jika ibubapa beritahu 24 jam lebih awal – alhamdulillah, kita boleh rancang kerja lain, dan ibubapa ini menghormati masa kita.
Situasi ② : jika ibubapa beritahu sejam awal (sebelum kita bertolak lagi – juga alhamdulillah, slot kita terluang (rugi kos peluang), tapi tiada kerugian nyata bagi pihak kita. Kita boleh ganti kelas di masa dan hari lain.
Situasi ③ : jika tiada pemberitahuan sehinggalah kita dah sampai rumah : saya cadangkan denda.
Denda – macamana tu ?
Jika Situasi ③ berlaku, iaitu kita dah sampai rumah pelajar, dan kelas dibatalkan – kira caj denda SEJAM PERTAMA.
Caj denda ini juga boleh dipanggil caj komitmen.
Contoh pengiraan : katakan anda mengajar dengan kadar RM60 sejam × 2 jam per kelas ; caj denda adalah caj sejam pertama anda, iama anda, iaitu RM60.
Semudah itu.
Kenapa sejam?
Kiranya kita pergi balik ke rumah pelajar adalah 30 minit x 2 = sejam. Ini hanyalah anggaran, dan adil untuk kedua-dua belah pihak.
Bagaimana respon ibubapa mengenai caj komitmen ini ?
Dalam pengalaman saya, alhamdulillah ibubapa terima dengan baik kerana memahami perkara ini. Bagi mereka, ini dikira caj komitmen.
Bukan itu saja – mereka juga berusaha mengelakkan kejadian ini berlaku di masa depan. Ye lah, takkan nak kena bayar caj denda ini selalu kau.
Masa kita sebagai tutor pun terpelihara.
Beritahu Syarat ini Lebih Awal
Semasa anda terima tugasan mengajar buat pertama kali, boleh bincang dengan ibubapa mengenai caj komitmen ini.
Dalam kes saya, saya tak beritahu lebih awal (terlupa ataupun segan mungkin). Biarpun begitu, saya tidak galakkan ini untuk mengelakkan salah faham di masa depan.
Tapi bagaimana jika sudah di pertengahan tugasan ?
Dalam pengalaman saya, jika ini berlaku ; kita letakkan saja kos komitmen ini dan terangkan dengan baik mengenai komitmen, masa, duit minyak semua – insyallah mereka akan
faham.
Bagaimana jika kelas online ?
Denda caj komitmen ini TIDAK TERPAKAI kan jika kelas online, kerana kita hanya sekadar berpelikat menunggu ZOOM di rumah kita.
Tiada kos minyak.
Biarpun ada kos peluang (slot rugi, boleh buat kelas lain sepatutnya), saya berpendapat kita rugi apapun – banyak lagi kerja lain yang berfaedah kita boleh lakukan di rumah ; ataupun mengemas, memasak ataupun meluangkan masa bersama keluarga.
Bagaimana jika kita (tutor) sendiri yang membatalkan kelas ?
Semestinya, dari masa ke semasa, kita pasti akan batalkan kelas.
Sama seperti di atas – lebih awal kita beritahu, lebih baik.
Saya biasanya akan beri notifikasi dalam 24 jam – paling kurang pun, 1 jam sebelum kelas.
Cuma jangan batalkan kelas ini terlalu kerap demi menjaga kredibiliti sendiri.
Kita cari makan kan.
Kesimpulan
Semestinya, denda caj komitmen harga sejam ini hanyalah cadangan yang munasabah dan praktik daripada saya sendiri.
Ada tutor yang TIDAK mengenakan caj ini langsung – ada juga caj kelas penuh – ada yang caj harga tetap (katakan RM 50)
jika pembatalan berlaku.
Terpulang pada anda – tiada akta ataupun hukuman – hanya sekadar untung-rugi anda sebagai tutor persendirian .
Kongsikan bagaimana anda menanganinya .