Usia Yang Sesuai Untuk Mulakan Tuisyen

Saya pernah mendengar kisah ada ibubapa mahu mencari tutor membaca pada anaknya yang berusia seawal 3 tahun!

Ini sungguh mengejutkan kita semua. Bayi lagi kot.

Jadi zaman moden sekarang yang memungkinkan apa saja, mahu berlumba-lumba dari segi pangkat dan harta, dan sekarang, pencapaian anak-anak pula?

Agak melampau juga. Tapi anda sebagai ibubapa juga mengalami dilemma yang sama: kita mahu yang terbaik, tapi pada masa yang sama, kita tak mahu ketinggalan juga.

Jadi umur berapa yang sesuai untuk memulakan tuisyen?

 

Saya berpendapat, ini soalan yang salah.

Soalan yang sepatut kita tanya : adakah anak perlukan tuisyen?

1 – Faktor Umur

Mengikut pandangan pakar pendidikan awal kanak-kanak Dr Afzan Maria, kanak-kanak sebelum berusia 11 tahun, cara pembelajaran mereka adalah dengan bermain, bukan belajar akademik semata.

Di negara Eropah seperti Finland dan Sweden, pembelajaran akademik tidak dimulakan sehinggalah mereka berusia 11 tahun.

Tapi kita sedia maklum, di Asia terutamanya, kita disinonimkan dengan ibubapa yang mementingkan keputusan akademik, berbanding perkembangan semulajadi kanak-kanak.

Apatah lagi dengan silabus pelajarnya berubah-rubah, malahan makin sukar pula.

Ini tidak termasuk persaingan yang bukan saja dirasai oleh anak-anak, malahan ibubapanya. Mereka takut serta khuatir jika anak mereka corot dalam pelajaran.

Jadi kesemua faktor di atas membawa kepada persoalanan ini: bila usia yang sesuai untuk menghantar anak ke tuisyen?

 

2. Tahun Peperiksaan Besar

Jika anak anda dalam tahun peperiksaan besar: darjah 6, Tingkatan 3, atau 5, ini masa yang sesuai untuk belajar tuisyen.

Walaupun tidak semestinya, tetapi bagus juga jika ada persiapan awal ke tuisyen sebelum tahun peperiksaan. Tapi tahun peperiksaan adalah tahun kritikal untuk semua orang.

Poin saya – paling kurang pun, hantarlah anak ke tuisyen pada tahun peperiksaan, jika anda tidak mahu sekalipun.

 

3. Bila anak sendiri minta.

Hah, ini jarang berlaku tapi selalunya berlaku pada terutamanya pelajar menengah. Mungkin mereka membandingkan markah dangan kawan-kawan di sekolah, baru timbul kesedaran ini.

Ini waktu paling sesuai – mereka sedang terbuka dan minat untuk belajar.

 

4. Bila anda bersedia

Ada beberapa faktor yang anda harus ambil kira : ­i) kewangan, ii) logistik (pengangkutan), dan iii) jadual.

i) kewangan : tuisyen rumah lebih mahal berbanding pusat tuisyen.
ii) logistik : jika pusat tuisyen, siapa yang harus menghantar dan mengambil mereka?
iii) harus fikirkan juga tentang jadual anak; jika mereka sekolah harian serta sekolah agama lagi, laratkah mereka untuk belajar tuisyen lagi?

 

5. Jika anak lemah dalam subjek kritikal.

Subjek kritikal seperti Matematik, Bahasa Melayu, dan Bahasa Inggeris.

Kita harus melihat subjek ini bukan untuk lulus peperiksaan semata, tetapi sesuatu yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan.

Subjek Bahasa – bahasa pertuturan, serta sebagai bahasa untuk mencari ilmu.
Matematik – ilmu pengiraan asas.
Sains – aplikasi fakta dan logik dalam kehidupan seharian.

Kita boleh lihat bagaimana tuisyen boleh membantu pelajar untuk memahami dan mengaplikasi dalam kehidupan, bukan sekadar dalam bilik darjah.

Jadi pelaburan untuk tuisyen adalah sangat berbaloi, tak kiralah betapa umur pelajar, asalkan
mereka berminat untuk belajar.

Bagi pendapat anda pula, umur berapa sesuai untuk mulakan tuisyen?